Polisi Satu Anak di China dilonggarkan

18:00 0 Comments A+ a-


BEIJING 1 April - China telah melonggarkan polisi satu anak bagi sebuah keluarga berikutan semakin ramai pasangan yang membuat keputusan untuk mempunyai lebih daripada seorang anak, lapor Suruhanjaya Penduduk dan Perancangan Keluarganya. Sebelum ini, terdapat spekulasi mengatakan kerajaan China merancang untuk melonggarkan polisi tersebut sebahagian besarnya kerana bilangan penduduk yang semakin tua sehingga memberi tekanan kepada sistem negara yang masih belum sempurna di samping kekurangan dana untuk golongan pesara.

Polisi tersebut memperuntukkan denda yang tinggi bagi sesiapa sahaja yang mempunyai anak lebih daripada seorang dan ia turut menimbulkan kebimbangan tentang perbezaan nisbah antara golongan lelaki dan perempuan muda. Walaupun perubahan yang dibuat berhubung polisi itu tidak ketara, tetapi ditambah dengan perasaan ramai pihak yang menganggap denda yang dikenakan sebagai tidak adil, rakyat China berharap polisi itu akan dibubarkan. Di bawah pelan baru itu, pasangan di Beijing yang mempunyai dua orang anak hanya akan disaman sekiranya si-ibu berumur 28 tahun ke bawah dan anak kedua dilahirkan dalam tempoh empat tahun berbanding anak pertama. Sebelum ini, pasangan suami isteri terpaksa membayar denda sebanyak 20 peratus daripada pendapatan tahunan mereka jika melahirkan anak kedua. Bagaimanapun, pasangan yang mempunyai lebih satu adik beradik tidak digalakkan mempunyai lebih daripada seorang anak dan mereka masih perlu membayar denda.

Bekas profesor undang-undang di Beijing, Yang Zhizhu memberitahu China Daily, pelaksanaan saman terhadap pasangan yang mempunyai anak kedua tetap dianggap tidak adil walaupun ramai di antara mereka yang tidak membayar saman. Tahap purata kesuburan wanita di China adalah antara 1.4 dan 1.8 bagi setiap wanita yang boleh melahirkan anak, namun ia perlu dikekalkan pada 2.1 untuk memastikan bilangan penduduk tidak merosot.

source:utusan